Friday 11 November 2011

Kamus membantu pengajaran dan pembelajaran

Kamus adalah sejenis buku rujukan yang sangat berguna kepada guru-guru dan para pelajar. Di peringkat sekolah, kamus sering digunakan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Walaupun begitu, kamus juga boleh digunakan semasa mempelajari mata pelajaran lain. Ada bermacam-macam-macam jenis kamus yang dijual di kedai buku. Ada juga kamus yang menggunakan ilustrasi, berwarna, dan pelbagai saiz. Dalam artikel ini saya hanya memperkatakan kamus satu bahasa dan kamus dwibahasa kerana kamus-kamus itu sering digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran.

Contoh kamus satu bahasa
Kamus satu bahasa ialah kamus yang menerangkan sesuatu perkataan dan istilah dalam satu bahasa sahaja. Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka adalah satu contoh kamus satu bahasa. Kamus dwibahasa pula ialah kamus yang menterjemah makna sesuatu perkataan atau istilah dalam bahasa yang berbeza seperti Kamus Dwibahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang menggunakan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.


 Contoh kamus dwibahasa dan berilustrasi

Selain menerangkan makna, istilah atau ejaan sesuatu perkataan, kamus juga berfungsi untuk membantu para pelajar mengenal perkataan baru. Kamus mampu memperluaskan perbendaharaan kata para pelajar. Pelajar-pelajar akan dapat memahami maksud sesuatu ayat atau petikan dengan lebih jelas lagi jika menguasai makna sesuatu perkataan. Pengetahuan yang diperoleh oleh para pelajar melalui kamus akan mempertingkatkan lagi keyakinan dan kemahiran para pelajar dalam pembinaan ayat.

Guru-guru perlu memiliki dan menggunakan kamus sebagai bahan rujukan yang penting. Para pelajar juga sepatutnya memiliki kamus sendiri untuk memudahkan pembelajaran di sekolah atau di rumah.

 Kamus elektronik

Kini, kamus tidak lagi terhad dalam bentuk buku sahaja. Kamus elektronik ialah kamus yang semakin popular kerana saiznya yang kecil dan mudah dibawa ke mana sahaja. Selain itu, guru-guru dan para pelajar juga boleh menggunakan kamus secara talian sebagaimana yang disediakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka di alamat sesawang http://prpm.dbp.gov.my.

No comments:

Post a Comment