Friday, 2 December 2011

Kata sendi nama "pada" dan "kepada"

Kata sendi nama “pada”

Kata sendi nama pada berfungsi untuk menunjukkan keterangan waktu dan tempat; dan digunakan juga dalam ungkapan ada pada untuk manusia dan haiwan.

A. Penggunaan kata sendi nama pada untuk menunjukkan keterangan waktu dapat dilihat dalam ayat-ayat berikut.

1.  Dia akan pergi ke Ipoh pada waktu petang.
2.  Pada bulan depan, saya akan balik ke kampung.

B. Seterusnya, penggunaan kata sendi nama pada bagi perbuatan sesuatu kerja dapat dijelaskan dalam ayat-ayat berikut.

1.  Jadual  bertugas telah ditampal pada papan kenyataan.
2.  Puan Salmi sedang mengganti tali pada ampaian.


C. Kata sendi nama pada yang didahului dengan perkataan ada mesti disusuli oleh kata nama yang merujuk manusia dan haiwan.

1.  Kunci rumah ada pada ibu.
2.  Sifat garang ada pada anjing jiran saya.

Kata sendi nama “kepada”

Kata sendi nama kepada pula ditulis di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran, pecahan dan perubahan keadaan.

A.  Kata sendi nama kepada yang dikaitkan dengan sasaran dijelaskan dalam ayat di bawah ini.

1.  Berikan wang ini kepada Hasnul.
2.  Surat permohonan itu perlu diserahkan kepada pihak sekolah

B.  Kata sendi nama kepada yang dikaitkan dengan pecahan pula ditunjukkan dalam ayat-ayat berikut. 

1.  Peserta perkhemahan itu diagihkan kepada lima kumpulan.
2.  Drama yang disiarkan itu dibahagikan kepada 10 episod.

C.  Kata nama sendi kepada yang digunakan untuk menyatakan perubahan sesuatu dinyatakan dalam ayat-ayat di bawah ini.

1.  Sikapnya yang pendiam itu telah berubah kepada peramah.
2.  Harga kereta itu telah meningkat kepada seratus ribu ringgit sebuah.

1 comment:

  1. Boleh saya kongsi pengisian ini, ia amat membantu saya dan rakan-rakan.

    ReplyDelete