Friday 11 November 2011

Kamus membantu pengajaran dan pembelajaran

Kamus adalah sejenis buku rujukan yang sangat berguna kepada guru-guru dan para pelajar. Di peringkat sekolah, kamus sering digunakan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Walaupun begitu, kamus juga boleh digunakan semasa mempelajari mata pelajaran lain. Ada bermacam-macam-macam jenis kamus yang dijual di kedai buku. Ada juga kamus yang menggunakan ilustrasi, berwarna, dan pelbagai saiz. Dalam artikel ini saya hanya memperkatakan kamus satu bahasa dan kamus dwibahasa kerana kamus-kamus itu sering digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran.

Contoh kamus satu bahasa
Kamus satu bahasa ialah kamus yang menerangkan sesuatu perkataan dan istilah dalam satu bahasa sahaja. Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka adalah satu contoh kamus satu bahasa. Kamus dwibahasa pula ialah kamus yang menterjemah makna sesuatu perkataan atau istilah dalam bahasa yang berbeza seperti Kamus Dwibahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang menggunakan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Tuesday 8 November 2011

Tatabahasa : Kata Nama Am dan Kata Nama Khas

Dalam pengajaran dan pembelajaran di Bahasa Melayu, kata nama sering digunakan. Kata nama boleh dibahagikan kepada tiga iaitu kata nama am, kata nama khas dan kata ganti nama. Dalam artikel ini, saya akan memperkatakan tentang kata nama am dan kata nama khas. Kata nama am dan kata nama khas mula diperkenalkan kepada pelajar-pelajar sejak di Tahap Satu sekolah rendah lagi.

Kata Nama Am
Kata nama am sering digunakan untuk merujuk kepada sesuatu benda, manusia, binatang, tempat, tumbuhan-tumbuhan dan lain-lain lagi. Huruf pertama bagi setiap kata nama ditulis dengan huruf kecil kecuali untuk permulaan ayat.

Sunday 6 November 2011

Salam perkenalan

Salam perkenalan saya ucapkan kepada tetamu-tetamu istimewa blog ini. Sebagai insan yang baru berjinak-jinak dengan pembinaan blog, sudah tentu ia menjadi satu cabaran yang besar kepada saya. Mudah-mudahan dengan bimbingan dan panduan yang diberikan oleh pensyarah dan rakan-rakan, saya akan dapat menyiapkannya sebaik mungkin.

Kemunculan blog ini membawa dua hasrat murni. Pertama, ia adalah salah satu tugasan yang perlu saya laksanakan dalam pengajian saya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Dalam subjek Teknologi Pendidikan Sekolah Rendah (KRT3013), saya dikehendaki menghasilkan sebuah blog berkaitan mata pelajaran Bahasa Melayu.

Hasrat kedua saya ialah ingin menjadikan blog ini wadah ilmu khususnya bagi mata pelajaran Bahasa Melayu. Saya mengharapkan ia mampu menjadi tempat menimba ilmu dan menyalurkan maklumat.Sasaran saya ialah murid-murid sekolah rendah yang mempelajari mata pelajaran Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran teras di sekolah. Namun begitu, saya tetap mengalu-alukan sesiapa sahaja yang sudi mengunjungi blog ini. Saya juga berbesar hati sekiranya percambahan dan perkongsian ilmu dapat direalisasikan di sini demi memartabatkan Bahasa Melayu di negara ini.

Saya berdoa dengan kehadiran blog ini di alam siber, para tetamu yang saya hormati akan dapat memanfaatkan pengetahuan yang diperoleh untuk kejayaan akademik dan seterusnya menjulang Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.